Kedudukan
wanita dalam Islam telah menjadi satu isu perdebatan sejak kebelakangan
ini. Timbul beberapa salah faham, sama ada daripada amalan-amalan
tradisi yang dianggap ‘Islamik’, tetapi sebenarnya tidak, ataupun
melalui pelbagai prejudis. Namun demikian, isu sebenarnya adalah
bagaimana wanita dilayan dalam kepercayaan Islam, dan apabila kita
meneliti perkara ini, kita dapati bahawa Islam memberi nilai sosial,
kebebasan dan keselesaan yang tinggi terhadap wanita.
WANITA DALAM AL-QURAN
Perintah-perintah
Tuhan berkenaan status wanita dan hubungan di antara lelaki dan wanita
yang telah dinyatakan kepada kita melalui Al-Quran, merangkumi keadilan
yang menyeluruh. Berhubung dengan perkara ini, Islam menganjurkan
kesamaan hak, tanggungjawab dan kewajipan di antara kedua-dua jantina.
Islam adalah berlandaskan simpati, toleransi dan hormat-menghormati
sesama manusia, dan dalam hal ini tidak mendiskriminasi wanita.
Contoh-contoh
budi pekerti yang disampaikan kepada kita dalam Al-Quran secara
keseluruhannya bersesuaian dengan sifat semulajadi manusia, dan sesuai
untuk semua pentas sejarah.
Penghormatan
terhadap wanita dan hak-hak wanita juga berlaku dalam lingkungan ini.
Dalam Al-Quran, Allah menegaskan bahawa semua tugas dan tanggungjawab
wanita adalah sama seperti lelaki. Malah, lelaki dan wanita harus saling
bantu-membantu dalam menunaikan pekerjaan dan tanggungjawab
masing-masing:
Dan
orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi
penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan,
dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan
sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya.
Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa,
lagi Maha Bijaksana.(Surah At-Taubah, ayat 71)
Allah menekankan bahawa golongan yang beriman akan diberi balasan yang sama berdasarkan amalan mereka, tanpa mengira jantina.
Maka
Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): "Sesungguhnya
Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan
kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah
keturunan) dari setengahnya yang lain; ... (Surah Al-‘Imran, ayat 195)
Sesiapa
yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka
sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan
sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang
lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.(Surah An-Nahl, ayat 97)
Dalam
satu ayat yang lain, lelaki dan wanita Muslim dianggap setara, dan
ditegaskan bahawa kedua-duanya mempunyai kewajipan dan status yang sama
di hadapan Allah:
Sesungguhnya
orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam,
dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang
beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan
yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan
yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang
perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada
Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah),
dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang
bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang
perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara
kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya,
dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta
orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah
telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.(Surah Al-Ahzaab, ayat 35)
Ada
banyak lagi ayat dalam Al-Quran yang menyatakan lelaki dan wanita
adalah sama dari sudut tugas dan kewajipan mereka, serta pahala dan
seksaannya. Terdapat beberapa perbezaan kecil dalam isu-isu sosial,
namun ianya untuk keselesaan dan perlindungan untuk wanita sendiri.
Perintah-perintah dalam Al-Quran turut memberi perhatian terhadap
perbezaan kongenital di antara kedua-dua jantina hasil penciptaan
mereka, serta menganjurkan satu sistem yang mengekalkan keadilan untuk
lelaki dan wanita.
Islam
tidak melihat wanita sebagai objek. Maka, ianya tidak bersesuaian untuk
seorang wanita yang baik mengahwini lelaki yang buruk akhlaknya. Begitu
juga sebaliknya, seorang wanita yang buruk tingkah lakunya tidak
diperkenankan untuk mengahwini lelaki yang baik pekertinya:
(Lazimnya)
perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat,
dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan
(sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang
baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik.
Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan
oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh
pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia. (Surah An-Nur, ayat 26)
Berkenaan
perkahwinan pula, semua tugas dan tanggungjawab sesebuah pasangan
memerlukan kesamaan. Allah memerintahkan bahawa kedua-dua suami isteri
adalah pelindung dan penjaga di antara satu sama lain. Tugas ini
diungkapkan dalam Al-Quran melalui ayat berikut:
... Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. ...(Surah Al-Baqarah, ayat 187)
Banyak
aturan dan perintah terdapat dalam Al-Quran berkenaan perlindungan
hak-hak wanita dalam pernikahan. Perkahwinan adalah berdasarkan
persetujuan daripada kedua-dua pihak; suami perlu menyediakan sokongan
ekonomi untuk isterinya (Surah An-Nisaa’, ayat 4); suami juga perlu
mengambil berat bekas isterinya selepas bercerai (Surah At-Talaaq, ayat
6).
EMANSIPASI WANITA MENURUT ISLAM
Sepertimana
yang diterangkan dalam ayat-ayat tersebut, Islam membawa keadilan dalam
hubungan lelaki-wanita dan menamatkan amalan-amalan memudaratkan yang
timbul daripada pelbagai adat dan tradisi masyarakat-masyarakat sebelum
kedatangan Islam. Satu contoh ialah situasi wanita dalam komuniti Arab
sebelum kedatangan Islam. Masyarakat Arab pagan melihat wanita sebagai
golongan yang rendah, dan mempunyai anak perempuan adalah sesuatu yang
memalukan. Bapa-bapa yang mempunyai anak perempuan lebih sanggup menanam
mereka hidup-hidup daripada mengumumkan kelahirannya. Melalui Al-Quran,
Allah menegah tradisi jahat ini dan mengingatkan bahawa golongan
sedemikian pasti akan diminta bertanggungjawab atas tindakan mereka pada
Hari Pengadilan.
Hakikatnya,
Islam membawa bersamanya emansipasi yang besar untuk wanita, golongan
yang teruk dianiayai dalam era pagan. Profesor Bernard Lewis, dikenali
sebagai antara pakar terhebat Barat berkenaan sejarah Islam dan Timur
Tengah, membuat komentar berikut:
Secara umumnya, ketibaan
Islam telah membawa satu pembaikan yang besar terhadap posisi wanita
dalam masyarakat Arab purba, merahmati mereka dengan harta benda dan
hak-hak lainnya, serta memberi satu cara perlindungan daripada
penganiayaan para suami dan pemilik mereka. Pembunuhan bayi-bayi
perempuan, yang diluluskan dalam adat masyarakat pagan Arab, telah
diharamkan oleh Islam. Namun kedudukan wanita masih rendah, dan menjadi
lebih teruk apabila, dalam hal ini dan banyak perkara lainnya, ajaran
sebenar Islam hilang rangsangannya dan telah diubahsuai mengikut
pengaruh gaya dan adat yang wujud sebelumkedatangan Islam. 1
Karen Armstrong, seorang lagi pakar Barat tentang Islam, memberi kenyataan berikut:
Kita
harus ingat suasana hidup wanita semasa zaman pra-Islam di mana
pembunuhan bayi perempuan merupakan satu kebiasaan dan wanita langsung
tidak mempunyai hak. Seperti hamba, wanita dilayan sebagai satu spesis
bawahan yang tidak mempunyai cara hidup yang sah. Dalam dunia kuno
sedemikian, apa yang dicapai oleh Muhammad untuk wanita adalah sesuatu yang luar biasa.
Gagasan bahawa seseorang wanita boleh menjadi saksi atau boleh mewarisi
apa sahaja berlandaskan haknya adalah amat menakjubkan. 2
Hakikatnya,
semasa beberapa kurun selepas Nabi Muhammad, wanita dalam masyarakat
Islam memiliki kedudukan sosial yang lebih tinggi berbanding dengan
golongan wanita Kristian. Karen Armstrong menegaskan bahawa semasa Zaman
Pertengahan:
...
golongan Muslim terperanjat melihat cara masyarakat Kristian di Barat
melayan golongan wanita mereka dalam wilayah-wilayah Salibiah, dan para
sarjana Kristian mengecam Islam kerana memberi terlalu banyak kuasa
kepada golongan bawahan seperti hamba dan wanita. 3
Anna
King, seorang wanita Muslim moden dan seorang mualaf - atau, lebih baik
dikatakan, seorang yang kembali kepada asal - kepada Islam, menerangkan
emansipasi wanita dari perspektif Islamik sebagai berikut:
Islamlah
yang mula-mula memberi hak-hak wanita di saat mereka sekadar harta
milikan lelaki. Islam memberi wanita hak untuk membeli dan menjual
sendiri, memiliki perniagaan dan menyatakan pandangannya secara politik.
Semua ini merupakan hak-hak asas yang tidak diberikan kepada wanita
Amerika sehingga baru-baru ini! İa juga menggalakkan wanita untuk
mengkaji dan mempelajari pengetahuan Islam, membuka sekatan yang
disyaratkan oleh sesetengah agama, yang melarang wanita untuk mendapat
sebarang ilmu keagamaan atau menyentuh kitab-kitab agama. Islam juga
telah membasmi amalan mengahwini wanita secara paksa. Maka, seseorang
itu tentunya seorang yang keras kepala untuk menolak fakta dan bukti
nyata sedemikian bahawa Islam merupakan pembebas wanita pertama.
Kecenderungan
untuk melihat wanita sebagai "satu spesis bawahan" yang tidak mempunyai
hak untuk pendidikan dan perlu dipencilkan daripada masyarakat muncul
beberapa lama kemudian dalam dunia Islam akibat penyimpangan daripada
jalan Quranik sebenar.
KESIMPULAN
Justeru
itu dapat kita katakan bahawa pemikiran yang menghina wanita,
menyisihkan mereka daripada kelompok masyarakat dan menganggap mereka
sebagai warga kelas kedua merupakan satu sikap keji pagan yang tidak
mempunyai tempat dalam Islam.
Hakikatnya,
wanita yang taat dipilih sebagai teladan bagi manusia di dalam
Al-Quran. Satu daripadanya ialah Maryam, ibu kepada Yesus Kristus
sendiri. Seorang lagi ialah isteri kepada Firaun Mesir yang, meskipun
suaminya seorang yang zalim, juga dinyatakan sebagai seorang Muslimah
yang ideal. (Surah At-Tahrim, ayat 11-12) Al-Quran juga merakamkan
beberapa perbualan di antara Nabi Sulaiman dan Puteri Saba’ (Surah
An-Naml, ayat 42-44), dan di antara Nabi Musa dengan dua orang gadis
(Surah Al-Qasas, ayat 23-26), yang melambangkan hubungan sosial penuh
tamadun di antara kedua-dua jantina.
Justeru
itu, adalah mustahil untuk seorang Muslim mempunyai pendekatan yang
sempit terhadap wanita. Di dalam satu masyarakat di mana nilai moral
Islam sebenar diamalkan, rasa hormat dan simpati yang tinggi akan
ditunjukkan terhadap wanita, dan akan dipastikan mereka dapat hidup
dalam kebebasan dan keselesaan.
Aturan
asas dalam takwil Quranik adalah memastikan bahawa makna yang dipilih
bersesuaian dengan integriti Al-Quran. Apabila perkara ini diberi
perhatian, didapati bahawa semua aturan berkenaan wanita yang
diberitakan oleh Allah kepada kita membentuk satu struktur sosial yang
membenarkan mereka hidup dalam cara yang paling selesa dan gembira.
Dalam satu masyarakat di mana semua nilai moral yang diajar oleh Islam
diamalkan secara menyeluruh, kedudukan sosial wanita menjadi lebih mulia
berbanding dengan banyak masyarakat pada masa kini yang kita anggap
moden.(1) Bernard Lewis, The Middle East, Weidenfeld & Nicolson, London, 1995, hal. 210
(2) Karen Armstrong, Muhammad A Biography of The Prophet, Harper Collins Publisher, USA, 1992, hal.191
(3) Karen Armstrong, Muhammad A Biography of The Prophet, Harper Collins Publisher, USA, 1992, hal.199
Sumber asal harunyahya.com
2 comments:
artikelnya bagus,
Thanks ffor writing
Post a Comment
Apa kata anda ?