Bismilahirahmanirahim,
Alhamdulillah syukur di pagi yang mulia ini, Allah buka dan lembutkan hati kita untuk sentiasa mencari ilmu dan mengingati Allah melalui zikir dan ibadah.
Sambungan Amalan Sunnah Rasulullah SAW kali ini banyak menginsafkan diri saya. Jika dahulu usahkan nak sembahyang berjemaah Solat Subuh di Masjid, nak bangun subuh pun susah yang amat. Saya mengaku sebelum ini saya amat ketinggalan dan jahil sekali.
Semoga kesilapan yag lalu tidak berulangi dan saya bertaubat nasuha atas kesilapan dahulu. Benar, tadi itu kisah di waktu saya belum mengenali diri saya sebenar dan menganggapkan kejayaan dunia lebih penting. Sehinggakan kehidupan yang kekal abadi tak pernah difikirkan. Saya pasti , anda bukan seperti saya dan saya rasa anda lebih mulia dari saya.
“Solat yang paling berat bagi orang munafik adalah solat Isyak dan solat Subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung didalamnya, mereka pasti mendatangi keduanya, walaupun dengan merangkak.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ramai ulama hadis memberi penjelasan berkenaan hadis ini. Diantaranya, bagi melihat sama ada seseorang itu beriman ataupun munafik, perhatikan solat Subuhnya. Sekiranya kita nampak dia di saf solat Subuh, bolehlah kita katakan yang dia benar-benar beriman.
Tetapi sekiranya sebaliknya, hatinya sudah dijangkiti virus munafik. Salah satu petandanya adalah seseorang ragu-ragu dengan kebenaran dan keagungan Allah yang bernama Solat Subuh ini.
Dalam hadis juga mengatakan , waktu subuh lah pengantian malam dan siang bermula. Pada saat ini juga , malaikat malam dan malaikat siang berkumpul bagi berganti tugas.
“Solat berjemaah lebih utama daripada solat sendirian sebanyak 25 kali ganda. Malaikat penjaga malam dan siang berkumpul pada waktu solat subuh.” (Hadis Riwayat Bukhari)
“Kemudian naiklah para malaikat yang menyertai kamu pada malam harinya, lalu Rabb mereka yang sebenarnya maha mengetahui bertanya kepada mereka, ‘Bagaimana hamba-hambaku ketika kalian meninggalkan mereka?”
Para malaikat menjawab, ‘Kami tinggalkan mereka dalam keadaan solat dan kami jumpai mereka dalam keadaan solat juga.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Jadi beruntunglah bagi orang yang dapat mendirikan solat subuh berjemaah di masjid kerana ia disaksikan oleh malaikat, baik malaikat yang bertugas pada malam hari, mahupun siang hari.
Allah menjelaskan, “Dan dirikanlah solat Subuh. Sesungguhnya solat Subuh itu disaksikan oleh para malaikat,”(Surah al-Israk , ayat 78)
Bayangkanlah waktu itu kalau malaikat melaporkan yang , kita sedang nyenyak tidur dan tidak mengutamakan waktu solat. Di waktu ini juga lah Syaitan sedang memeluk kita dengan erat sekali supaya kita terus lena dan tinggalkan solat subuh.
“Dua rakaat fajar (solat sunat sebelum ataupun qabliyah Subuh) lebih baik daripada dunia dan seisinya, “(Hadis Riwayat Muslim)
Solat Qabliyah Subuh adalah solat sunat yang paling banyak pahala. Lebih baik daripada segala kebaikan isi dunia.
Cuba bayangkan, harta, wang, pangkat jawatan, isteri , anak…semuanya tidak kekal. Yang dulu cantik lama-lama jadi tua, bongkok, berkedut dan tidak secantik masa muda. “Segala sesuatu akan binasa,”(Surah al-Qashash ayat 88).
Segala dunia dan isinya tidak lebih baik dari solat sunat fajar ini. Dalam situasi apa pun , jangan tinggalkan solat sunat Subuh ini kerana Rasulullah sendiri memesan dalam situasi apa pun sama ada dalam perjalanan ataupun dalam pertempuran, jangan tinggalkan solat sunat Subuh.
Solat Subuh juga dapat menjadi penerang pada Hari Kiamat seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah, “Berilah khabar gembira bagi orang yang berjalan dalam kegelapan menuju masjid dengan cahaya yang terang benderang pertolongan pada Hari Kiamat” (Hadis Riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah).
Hikmah solat Subuh begitu hebat kerana ia adalah solat yang paling sukar dikerjakan pada awal waktu. Ramai diantara kita yang memilih untuk tidur di tilam empuk dan berselimut hangat. Seorang pemimpin Yahudi pernah mengatakan yang mereka tidak takut dengan orang Islam melainkan dengan satu perkara, iaitu apabila jumlah jemaah solat subuh sama dengan jumlah jemaah solat Jumaat.
Umat yang menjaga solat Subuh berjemaah adalah umat yang berhak berdiri kukuh di muka bumi. Manakala Umat yang melalaikan solat Subuh berjemaah adalah umat yang tidak berhak mendapat kejayaan.
p/s:Telah Dikemaskini dari sumber asal.
SUMBER:http://hadzrin.com/2010/06/amalan-sunnah-4-solat-subuh-berjemaah-di-masjid/
0 comments:
Post a Comment
Apa kata anda ?