Setiap ujian dan musibah yang Allah
 s.w.t. timpa kepada hamba-Nya yang sabar dan reda, akan diberi pahala 
yang besar. Sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Darimi 
daripada Abdullah bin Amr, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang 
bermaksud: “Tidak seorang pun daripada kaum Muslimin yang terkena 
musibah pada jasadnya, kecuali Allah memerintahkan malaikat penjaga yang
 menjaganya seraya berfirman, “Tulislah untuk hamba-Ku ini, setiap hari 
dan malam kebaikan seperti kebaikan yang biasanya dia lakukan ketika dia
 tidak terkekang dengan belenggu-Ku.” 
Abu Hurairah r.a berkata: “Tidak 
ada penyakit yang menimpaku yang lebih aku sukai daripada demam, sebab 
demam merasuk setiap organ tubuhku, dan Allah s.w.t. akan mengurniakan 
pahala bagi setiap organ tubuh yang diserang demam.”
Sejukkannya dengan Air
Hadis riwayat al-Tirmizi dalam Jami’nya menerusi hadis Rafi’ bin Khudaij secara marfu’
 meriwayatkan: “Apabila salah seorang di antara kamu diserang demam dan 
demam itu adalah percikan api neraka, maka hendaklah dipadamkan demam 
itu dengan air sejuk dan hendaklah berendam di dalam sungai yang 
mengalir. Hendaklah ia mandi selepas fajar (subuh) dan sebelum terbit 
matahari. Dan hendaklah ia mengucapkan:

Maksudnya: “Dengan nama-Mu ya Allah, sembuhkanlah penyakit hamba -Mu dan benarkan bimbingan Rasul-Mu.”
Lalu berendam sebanyak tiga kali 
selama tiga hari berturut-turut. Jika sembuh, alhamdulillah. Jika belum 
sembuh juga, ulangi hingga lima hari. Jika belum sembuh juga, maka tujuh
 hari. Biasanya tidak pernah lebih dari tujuh hari, dengan izin Allah.
Daripada Rafi’ bin Khadij r.a., bahawa dia mendengar  Nabi
 s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya demam itu merupakan 
legakan api neraka jahanam, maka sejukkanlah ia dengan air.” (Riwayat 
Muslim no. 5889)
Begitu juga sebuah hadis daripada 
Ibn Umar r.a., bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: 
“Sesungguhnya demam itu atau demam yang berat itu berpunca daripada 
bahang api neraka. Jadi, sejukkanlah ia dengan air.” (Riwayat Muslim no.
 5882)
Membaca Ruqyah
Rasulullah s.a.w. juga menyarankan 
agar membaca doa-doa yang disyariatkan untuk mengubati demam juga 
penyakit-penyakit yang lain. Dalam sebuah hadis riwayat Imam al-Tirmizi,
 daripada Abdullah bin Abbas, bahawa Rasulullah s.a.w. pernah mengajar 
mereka doa sebagai ruqyah (jampi) apabila ditimpa demam panas iaitu:

Maksudnya: “Dengan nama Allah yang 
Maha Besar, aku berlindung kepada Allah yang Maha Agung daripada 
kekejangan urat dan keperitan kepanasan api.”
Imam al-Baihaqi juga ada 
meriwayatkan sebuah hadis iaitu daripada Anas r.a. kata: “Rasulullah 
s.a.w. menemui Aisyah r.ha. ketika Aisyah terkena penyakit demam panas 
seraya berkata, “Jangan mengeluh, kerana ia diperintahkan. Tetapi jika 
kamu mahu akan aku ajari beberapa bacaan yang jika kamu membacanya Allah
 akan menghilangkan sakit itu daripadamu.’ Aisyah berkata: ‘Ajarilah 
aku.’ Baginda bersabda:

Maksudnya: “Ya Allah, kasihanilah kulitku yang nipis dan tulangku yang lembut daripada panasnya kebakaran.”
“Ya Ummu Mildam (demam), jika kamu 
beriman kepada Allah Yang Maha Agung, maka janganlah kamu memeningkan 
kepala, membuatkan mulut berbau, jangan menyedut darah tetapi sebaliknya
 palingkan diriku kepada orang yang menjadikan Allah sebagai tuhan.” 
Lalu Aisyah mengucapkan kalimah itu hingga rasa sakitnya sembuh. Dalam 
satu riwayat ada tambahan, “Sesungguhnya saya bersaksi tidak ada Tuhan 
selain Allah dan Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya.”
Berpunca daripada Bahang Neraka?
Menurut Ibn Qayyim al-Jauziah, 
maksud ucapan Nabi s.a.w. “demam itu berpunca daripada bahang neraka 
jahanam” iaitu panas demam yang bergejolak sepertimana Rasulullah s.a.w.
 pernah mengucapkan dalam hadis yang lain, “Panas matahari yang terik 
berpunca daripada bahang jahanam.” 
Di sana ada dua pendapat yang menjelaskan kedua-dua hadis tersebut. Pendapat pertama
 menyatakan bahawa panas tersebut merupakan satu bayangan kepanasan 
neraka jahanam agar para hamba Allah menjadikannya sebagai iktibar atau 
pengajaran. Kemudian Allah sembuhkan sebagai bandingan kebahagiaan, 
keceriaan, kegembiraan serta nikmat hidup dalam syurga yang Allah s.w.t.
 
Manakala pendapat kedua
 pula menyatakan hadis tersebut merupakan perumpamaan. Allah s.w.t. 
mengumpamakan panas demam yang bergejolak seperti bahang jahanam. Allah 
s.w.t. juga mengumpamakan terik matahari dengan bahang neraka jahanam 
untuk mengingatkan manusia akan panasnya bahang seksa neraka. Panas yang
 menyengat itu diumpamakan sebagai bahang api neraka. Orang yang 
menghampirinya akan terasa bagaikan disentuh panas tersebut.
Maksud Air
Ucapan Nabi s.a.w. “sejukkanlah ia dengan air” juga terdapat dua pengertian. Pertama bermaksud segala jenis air. Demikianlah pengertian yang hampir kepada benar. Kedua, air zamzam. Mereka yang berpendapat air zamzam bersandarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam Sahihnya,
 daripada Abu Jamrah Nashr bin Imran al-Dhuba’i bahawa ia bercerita: 
“Aku pernah duduk dalam majlis Ibn Abbas di Kota Makkah, tiba-tiba aku 
diserang demam. Kemudian Ibn Abbas berkata, ‘Sejukkan dengan air zamzam 
kerana Rasulullah s.a.w. bersabda (yang bermaksud), ‘Sesungguhnya demam 
itu atau demam yang berat itu berpunca daripada bahang api neraka 
jahanam. Oleh sebab itu, sejukkanlah ia dengan air.’ atau Baginda s.a.w.
 menyebut, ‘Air zamzam.’”
Manakala orang yang berpendapat 
segala sejenis air juga terdapat perbezaan pendapat. Ada yang mengatakan
 air yang disedekahkan kepada orang lain. Ada juga yang berpendapat air 
itu hendaklah digunakan dalam rawatan. Dalam dua pendapat ini, pendapat 
yang utama adalah air itu hendaklah digunakan untuk disedekahkan kerana 
memberi seteguk air kepada orang yang dahaga adalah perbuatan yang amat 
terpuji. 
Walau bagaimanapun yang lebih 
masyhurnya maksud sebenar hadis itu adalah air itu mestilah digunakan 
untuk rawatan. Abu Nu’aim, seorang ulama ada menulis Hilyat al-Auliya’ dan disahkan ulama bahawa ada hadis yang berdarjat marfu’ bermaksud: “Jika salah seorang di antara kamu demam, hendaklah ia menyiram tubuhnya dengan air sejuk selama tiga malam pada waktu fajar.” (Riwayat al-Nasa’i dan al-Hakim)
Di dalam kitab Sunan Ibn Majah daripada Abu Hurairah r.a. secara marfu’
 menyebut: “Demam itu berasal dari peniup tungku jahanam, maka 
hapuskanlah ia dengan air sejuk.” Menurut Imam al-Sindi dalam 
menghuraikan Sunan Ibn Majah berkata, “Hadis tersebut sahih dan
 para perawinya boleh dipercayai.” Yang dimaksudkan dengan peniup tungku
 adalah peniup tungku tukang besi yang dibangsakan kepada neraka ini 
dalam bentuk kiasan sahaja.
Dalam Musnad dan selainnya menerusi hadis al-Hasan daripada Samurah dengan darjat marfu’
 bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Demam adalah 
sebahagian daripada pakaian api neraka, maka sejukkanlah ia menggunakan 
air.” Dan adalah Rasulullah s.a.w. sendiri apabila demam, Baginda s.a.w.
 meminta diambilkan air lalu Baginda jiruskan ke kepala Baginda, 
kemudian Baginda mandi.” (Riwayat al-Hakim, al-Tabrani dalam al-Ausat serta al-Bazzar) 
Jangan Mencela Demam
Di dalam kitab al-Sunan 
daripada Abu Hurairah r.a. bahawa ia berkata: “Suatu ketika ada orang 
membicarakan mengenai demam dekat Rasulullah s.a.w., tiba-tiba seorang 
lelaki mencela penyakit tersebut. Rasulullah s.a.w. bersabda (yang 
bermaksud): ‘Jangan mencela demam sebab demam dapat menghapuskan dosa 
sebagaimana api melenyapkan karat daripada besi.’” (Riwayat Ibn Majah)
Menurut riwayat sebuah athar  iaitu, “Demam sehari boleh menghapuskan dosa setahun.”
Riwayat ini ada yang difahamkan 
bahawa demam itu meresap ke dalam setiap anggota tubuh dan 
sendi-sendinya. Manakala jumlah sendi-sendi tubuh adalah sebanyak tiga 
ratus enam puluh. Justeru, demam itu dapat menghapuskan dosa sejumlah 
sendi-sendi tersebut dalam sehari.






 











