FB Like

Monday, August 12, 2013

Diet Belanja Cegah Kempis Selepas Raya


BIARPUN banyak atau sedikit, peruntukan kewangan amat penting bagi mempersiapkan diri menghadapi Aidilfitri. Segalanya perlu diambil kira. Daripada pakaian baru, peruntukan duit raya, kos perjalanan pulang ke kampung hinggalah ke juadah makanan. Semuanya menjadi bajet yang perlu diberikan perhatian.

Ini semua sebenarnya, tidak menimbulkan masalah kewangan andai seseorang itu telah membuat perancangan lebih awal. Katalah perancangan telah dibuat semenjak awal tahun 2013 dahulu lagi. 

Namun begitu, yang menjadi masalahnya, tak berapa kerat sahaja di antara kita yang sudah benar-benar bersedia dengan bajet menyambut hari raya dengan erti kata yang sebenarnya. Kebanyakan daripada kita mempunyai ciri bajet impromptu iaitu bajet membujur lalu melintang patah. 

Bajet jenis ini boleh dikatakan, berbelanja ikut keadaan selagi ada modal sampailah keadaan kewangan menyusut, di mana tatkala itu barulah secara paksa masing-masing mengikat perut, menjerut tekak dan memejamkan mata terhadap apa jua di sekeliling mereka.

Bagi mereka yang berkemampuan, tidaklah timbul masalah baik sebelum atau selepas hari raya. Namun, bagaimana pula bagi mereka yang tidak berhemah ketika berbelanja atau memiliki tabungan yang tidak cukup selepas cuti raya? Bukankah itu mengundang sesak nafas jadinya.

Sebenarnya, tempoh setahun untuk menyambut Aidilfitri berikutnya adalah mencukupi untuk mengumpul bajet kewangan, sekali gus terhindar daripada bebanan hutang dan krisis kewangan menjelang dan selepas musim perayaan itu.
Selama 12 bulan dalam setahun, mustahil kita tidak boleh menyimpan sedikit daripada jumlah pendapatan bulanan kita untuk mendapatkan bajet hari lebaran yang mencukupi . 

Memanglah sukar jika kita terpaksa mengasingkan sedikit pendapatan bulanan. Namun, jika dikaji kesannya, tidakkah ia akan menguntungkan kita? Tidaklah kita sakit kepala apabila musim perayaan ini menjelang tiba. Inilah yang patut kita buat untuk menyambut Aidilfitri 2013 ini. Atau kalau tak sempat, kita patut berusaha daripada sekarang untuk lebih selesa menyambut Aidilfitri 2014 yang akan datang.

Menjelang hari raya pola perbelanjaan kita tentunya berlainan daripada kebiasaan. Manakan tidak? Di sepanjang bulan puasa lagi kita sudah begitu boros berbelanja. Ketika perut sedang berkeroncong, waktu itulah kita menapak menelusuri jajaran gerai di pasar Ramadan. 

Apa yang terlihat semuanya menggoda, apa yang terbau semuanya sedap belaka. Pendek kata, ikan cincaru masin pun tampak menyelerakan dan sedap seperti daging rusa salai pada waktu dan saat itu. Sedar tak sedar, paling kurang RM30 selesai dibelanjakan setiap petang menjelang tiba.

Beberapa hari menjelang lebaran, ada suri rumah yang telah mula membuat kuih-muih, atau paling tidak membeli beberapa jenis kuih raya yang ada dijual di mana-mana.
Ada juga yang bercadang untuk menggantikan kain langsir, mengecat rumah, mengganti kusyen dan membeli barang kemas untuk perhiasan diri.
Ini semua memerlukan perkiraan. Bukan sewenangnya boleh dilakukan jika kita mahu menjaga bajet supaya tidak defisit di bulan berikutnya. Mujurlah sekarang kiriman kad raya sudah hilang polularitinya. Jika tidak, maka akan bertambahlah bajet kita jadinya.

Bagi sang suami pula, belanjawan bunga api (yang tidak berbahaya ) untuk anak-anak, membeli pakaian untuk ahli keluarga, kos menghantar kereta untuk diservis, kos minyak, kos jajan dalam perjalanan dan kos tol untuk pulang berhari raya di kampung halaman juga tidak harus dilupa, malah ada juga yang kepingin untuk beraya dengan kereta baharu. Ini juga perlukan perkiraan wajar. Begitu banyak sekali godaan tiba menerusi gimik iklan di mana-mana.
Bagi yang baru berumah tangga, tentunya kemeriahan untuk beraya kali pertama di rumah ibu bapa mertua mengatasi segalanya. Ada yang pasang badan untuk menjaga saham berbanding ipar duai mereka.
Ada juga yang pulang beraya dengan segalanya serba baharu. Baju melayu baharu, seluar baharu, tudung baharu, baju kurung baharu, telefon bimbit baharu dan bermacam lagi gajet yang baharu. 

Kononnya untuk menjaga reputasi diri di mata anak buah dan ipar duai. Ini juga perlukan perkiraan yang teliti sebelum seseorang itu boleh mempamerkan aksi diri.
Untuk anak muda remaja, untuk generasi celik komputer hari ini, baik lelaki mahupun perempuan tentunya ada yang kepingin untuk mempunyai gajet raya. Ipad ipod telefon pintar mp4 dan segala macam kaum kerabatnya semua mahu di milikinya. 

Bagi lelaki muda belia yang sudah meninggalkan alam persekolahan, belajar di kolej atau universiti atau baru saja menjenguk ke alam pekerjaan, lain pula keadaannya.
Bajet bulan Ramadan mereka sehingga membawa ke bulan Syawal banyak dipengaruhi oleh pelbagai perkara yang mungkin berlainan sedikit daripada si muda remaja.
Pertama antaranya adalah bajet untuk rokok. Rokok menjadi punca utama sesetengah lelaki yang merokok mengalami kekurangan wang. 

Kira-kira 40% lelaki di Malaysia adalah perokok tak kiralah perokok tegar ataupun tidak. Ini kerana biasanya perokok tegar menghabiskan RM10 untuk sekotak rokok sehari. Kalau sebulan, mahu RM300 dibakar demi memuaskan ketagihan tembakau.
Itu baru sekotak, kalau dua kotak sehari macam mana pula? Oleh itu wahai lelaki, jangan merokok… kerana bajet Aidilfitri anda boleh tunggang terbalik kerananya. 

Yang kedua, ketagihan permainan video dan video permainan maya. Lelaki memang tidak dinafikan sebagai golongan yang kerap serta gemar bermain permainan video serta permainan komputer lain.
Buktinya, lihatlah di cyber cafe, selain penuh dengan kanak-kanak dan remaja , ada juga lelaki yang 'taksub' bermain permainan seperti dota, condition zero, dan banyak lagi permainan yang berbentuk 'strategi' yang memang banyak memakan duit kerana mereka bukannya hanya perlu sejam dua bermain, kadang kala sampai lima jam tanpa henti pun belum tentu berjaya untuk untuk menyudahkan permainan itu.

Ketiga, hobi mengubah suai kenderaan. Bagi sebilangan lelaki yang mat motor serta mat kereta, mereka biasanya mengeluarkan perbelanjaan yang agak banyak untuk mengubah suai kenderaan mereka untuk menjadi lebih canggih, 'berkuasa' serta cantik dipandang mata. Apatah lagi menjelang raya, penuh kedai aksesori menjadi tumpuan sebilangan daripada mereka.

Dalam kalangan kaum perempuan pula, terutama yang muda belia, mereka juga tidak pernah lari daripada masalah bajet. Ini adalah kerana minat dan kegemaran masing-masing. Jika tabiat atau minat ini tidak dikawal menjelang hari raya, maka sudah pasti akan menimbulkan suasana 'kuak lentang' apabila selesai saja mereka menyambutnya.
Minat yang pertama, perempuan memang sinonim dengan membeli-belah. Pendek kata, perempuan dan shopping memang istilah yang tidak boleh dipisahkan. Perempuan suka mengeluarkan wang yang banyak untuk membeli belah pakaian yang baharu dan sebagainya dengan banyak. 

Contohnya: Kalau baju biru, kain pun nak biru, malah kasut dan tudung pun nak yang warna biru juga. Ini agak membazir jika ia di lakukan secara kerap dan mempunyai banyak pasang pakaian, kasut dan sebagainya yang pelbagai warna yang dibeli dan disimpan selepas digunakan cuma sekali dua sahaja.
Yang kedua, mekap dan aksesori kecantikan. Sesetengah perempuan suka sangat ingin penampilan mereka sentiasa cantik dan menawan. Ini tak salah, cuma agak-agaklah sedikit. 

Ini kerana perbelanjaan untuk membeli bedak asas, bedak, lipstik, celak, maskara, pewarna muka dan sebagainya agak mahal lebih-lebih lagi jika digunakan sepanjang hari.
Itu baru pada bahagian muka, belum lagi bahagian rambut/tudung, rawatan kuku, terapi kaki, barangan kemas, dan sebagainya. Jika mahu diperincikan satu persatu ,mesti banyak sekali.
Ketiga, penjagaan badan secara keseluruhan seperti mandian lulur satu badan, membuang lemak, mengempiskan perut dan sebagainya. 

Ada juga perempuan yang biasanya sudah bekerja serta suri rumah yang ingin menjadikan seluruh wajah atau badan mereka sentiasa cantik dan anggun untuk menarik minat lelaki lain ataupun untuk mengelakkan si-suaminya lari.
Namun demikian kos untuk 'menyelenggarakan badan' mereka sememangnya mahal. Kosnya mungkin boleh mencecah beribu ringgit walaupun cuma hendak membedah hidung yang penyek menjadi lebih mancung.
Itu baru servis hidung, belum lagi bibir nipis yang mahu ditebalkan, wajah dan sebagainya. Ada yang juga mengambil suntikan bulanan vitamin C, botox dan macam-macam untuk menjadikan wajah dan penampilan mereka lebih anggun dan menawan. 

Memandangkan segala perbelanjaan ini sudah seperti menjadi rutin bulanan, maka semestinya ia akan mempunyai impak yang sangat besar apabila menjelang musim-musim perayaan dengan mengambil kira perbelanjaan lain yang turut ada tersenarai pada waktu dan ketika yang sama.
Masalah kekeringan bajet ini jika mahu diperincikan satu per satu memang tidak akan ada penghujungnya. Jika pada ketika hari biasa ia sudah menampakkan kesan, apatah lagi jika tabiat itu tidak dibendung ketika hampirnya musim perayaan. Maka akan bertambah parah lagi kondisi bajet diri dibuatnya.

1 comments:

Post a Comment

Apa kata anda ?

ALHAMDULILLAH